Thursday 4 August 2016

PEMUDA AMANAH PERAK BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP KHAIRUL AZWAN

*PEMUDA AMANAH PERAK BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP KHAIRUL AZWAN*

*IPOH:* Pemuda Amanah Negeri Perak hari ini membuat laporan polis terhadap Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berhubung dakwaannya baru-baru ini.

Khairul membuat satu laporan polis minggu lalu terhadap tiga individu iaitu Bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Bekas Pegawai SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang didakwa terlibat dalam komplot menggulingkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Pemuda Amanah Perak diketuai oleh Pemangku Timbalan Ketua, Hasnul Zulkarnain bersama Setiausaha, Safarizal Saleh dan Pengarah Komunikasi, Muhammad Faeez Azahar membuat laloran polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Hasnul ketika ditemui berkata, laporan polis yg dibuat oleh Khairul Azwan adalah jelas merupakan satu tindakan jenayah dan beliau boleh dituduh di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu ke atas bekas tiga penjawat awam tersebut.

"Oleh itu, kita mendesak supaya kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Khairul Azwan disiasat di bawah seksyen tersebut.

"Kita juga percaya bahawa laporan polis dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Khairul Azwan berhubung dengan komplot menggulingkan Perdana Menteri oleh tiga bekas penjawat awam tersebut merupakan satu fitnah jenayah di bawah seksyen 499 Kanun Keseksaan," katanya kepada media.

Hasnul menjelaskan, tindakan Khairul Azwan tersebut jelas telah mencemarkan nama baik negara dan tiga bekas penjawat awam tersebut ketika mereka menjalankan tugas mereka sebagai Peguam Negara, Pesuruhjaya SPRM dan Gabenor Bank Negara.

Oleh itu, jelas beliau, tindakan pihak yang mencemar nama baik ketiga-tiga individu tersebut harus ditentang dan diambil tindakan tegas oleh kerajaan.

"Oleh itu, kita mendesak supaya Pendakwa Raya membuat laporan di bawah seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah terhadap Khairul Azwan kerana fitnah jenayah yang beliau laporkan.

"Laporan di bawah seksyen 131 ini penting bagi membersihkan nama ketiga-tiga bekas penjawat awam tersebut daripada pihak yang tidak bertanggungjawab," jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment