Monday 27 June 2016

Kenyataan media :

DAP puji Perletakan jawatan Dato Seri Ahmad Husni hanadzlah sebagai tindakan berani membela integriti

(Ipoh 28/6/16)

1. Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming hari ini memuji tindakan menteri kewangan II Dato Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meletak semua jawatan dalam BN sebagai satu tindakan berani yang cuba membela intergriti.

2. Nga Kor Ming berkata, Perletakan jawatan oleh Dato Seri Ahmad Husni sebagai Menteri Kewangan II, Bendahari UMNO, Bendahari BN, Timbalan Pengerusi BN Perak serta Ketua Bahagian UMNO Bahagian Tambun menunjukkan beliau seorang pemimpin berprinsip yang enggan bersekongkol lagi dengan kelakuan salah dan enggan lagi terlibat dengan skandal raksasa kewangan yang sedang melanda negara kita.

3. Perletakan jawatan oleh Dato Seri Ahmad Husni menunjukkan bahawa kedudukan kewangan negara kini semakin kritikal dan tidak boleh dipandang remeh oleh rakyat jelata.

4. Hutang Negara termasuk hutang yang dijamin oleh kerajaan kini mencecah paras RM810 bilion, ini menjadikan setiap rakyat menanggung hutang RM27,000 setiap orang dan keadaan ini bertambah teruk dengan skandal raksasa kewangan 1 MDB yang berhutang sebanyak RM55 bilion.

5. Selain itu, hutang negara berjumlah RM810 bilion ini juga telah melepasi paras kritikal 55% dari KDNK dan telah mencapai 57.4% dari KDNK. Ini sekaligus menggugat kestabilan sistem kewangan negara kita. Jika dibanding dengan Indonesia dan Thailand, hutang negara jiran Asean tersebut adalah sekadar 27.1% dan 35.1% KDNK masing-masing, satu kedudukan yang jauh lebih selamat dari Malaysia.

6. Malaysia kini juga merupakan negara yang mempunyai hutang domestik yang paling tinggi di seluruh benua Asia. Paras hutang domestik adalah 89.1% dari jumlah KDNK. Satu rekod yang amat membimbangkan.

7. DAP mengucapkan selamat maju jaya kepada Dato Seri Ahmad Husni yang kini bebas dari belenggu krisis skandal kewangan negara sebagai individu tetapi Malaysia masih lagi berada dalam keadaan yang bahaya tanpa reformasi institusi secara menyeluruh.

8. DAP berharap ada lebih ramai pemimpin yang berintegriti dalam kerajaan akan mengikut langkah Dato Seri Ahmad Husni kerana kelakuan menyokong pemimpin yang rasuah bukan sahaja salah tetapi akhirnya akan memusnahkan bangsa & negara kita.

28/6/16

Nga Kor Ming

Pengerusi DAP Perak
Ahli Parlimen Taiping

No comments:

Post a Comment